بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العلمين. والصلاة
والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين
SETIAP AMAL ADALAH DENGAN NIAT
“Dari Amir al-Mu’minin
Abi Hafs ‘Umar ibn al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, daku mendengar Rasulullah
Shallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : sesungguhnya setiap amal sesuatu adalah
dengan niat, dan hanya setiap seseorang ganjaran dengan apa yang diniatkan,
sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah untuk
Allah dan Rasul-Nya, sesiapa yang berhijrah untuk keduniaan maka ia akan
memperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya
kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.”
Hadith yang diriwayat
oleh dua Imam Hadith di dalam Kitab mereka yang amat Shahih penulisan kitabnya
iaitu Imam Abu Abdillah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah ibn
Bardizbah al-Bukhari dan Imam Abu Husain Muslim ibn Hajjaj ibn Muslim
al-Qusyairi al-Naisaburi.
Hadith ini mempunyai martabat dan nilai yang tinggi di dalam
hukum-hakam Islam kerana banyak hukum yang didasarkan kepadanya, Ulamak Hadith
sepakat tentang keshahihan Hadith ini dan nilainya. Imam Abu Daud mengatakan
hadith ini adalah separuh daripada Islam, kerana agama itu zhahirnya adalah
perbuatan dan Batinnya adalah niat. Imam Syafie dan Imam Ahmad berkata masuk ke
dalam hadith ini sepertiga ilmu, kerana amalan seseorang hamba itu adalah
dengan hatinya, lisannya dan anggotanya, niat dengan hati termasuk daripada
pecahan yang tiga tersebut.
Oleh sebab itu, ramai di kalangan ulamak memulakan kitab
mereka atau penulisan mereka dengan hadith ini, bahkan ada yang memulakan
dengan hadith ini dalam setiap bab di dalam kitab mereka. Imam Bukhari
meletakkan hadith ini yang pertama di dalam shahihnya, Imam Nawawi meletakkan
hadith ini pada permulaan bagi tiga kitabnya iaitu “al-Azkar”, “Riyadhus
Sholihin” dan “Arba’in Hadith an-Nawawiyyah”. Faedah daripada hadith ini
menunjukkan bahawa wajib bagi kita sebagai penuntut ilmu untuk membetulkan niat
kerana Allah dalam menuntut ilmu atau beramal. Serta sentiasa men’tajdid’ (memperbaharui)
niat kita agar ianya sentiasa pada hal yang betul serta ikhlas kerana-Nya. Maka ingin mengikuti sunnah ulamak memulakan blog yang tak seberapa ini dengan hadith tersebut.
Semoga Allah memasukkan kita dalam golongan orang-orang yang
ikhlas, Allahumma Amiinn. Moga -moga blog ini sedikit sebanyak memberi manfaat pada kita bersama.
No comments:
Post a Comment