Monday, 21 April 2014

manhaj kita sebagai muslim

Para ulamak terdahulu juga berbeza pendapat dan pandangan dalam masalah-masalah agama tetapi ikatan di antara mereka tetap kuat dan utuh. Para ulamak silam sentiasa mengkehadapankan atau mendahului akhlak-akhlak yang baik dalam permasalahan ini dengan tidak saling menghina antara satu sama lain, tidak mengkafirkan antara satu sama lain, tidak membid’ahkan sesama mereka, tidak menggunakan kata-kata yang kesat. Perkara ini adalah disebabkan mereka mendahuluikan akhlak yang baik serta adab-adab yang mulia sehinggakan ukhwah islamiyyah mereka begitu terjaga dan atas dasar inilah juga mereka saling hormat-menghormati.

Dewasa kini para penuntut ilmu apabila berlaku perbezaan pendapat dalam masalah agama. Perkara takfir mentakfir ini menjadi satu fenomena yang sangat buruk di dalam institusi agamawan, bid’ah membid’ahkan, hina menghina sesama sendiri serta menggunakan perkataan yang kesat. Bahkan ada yang sampai mengkafirkan ulamak-ulamak terdahulu dan tidak beradab dengan ulamak-ulamak terdahulu. Sikap-sikap seperti inilah yang akan menghalang orang awam untuk mempelajari agama untuk dekat dengan agama. Pada pandangan mereka ustaz-ustaz juga bertelagah sesama sendiri, menggunakan kata-kata yang kesat, bagaimana mungkin boleh mendidik diri mereka, membimbing mereka ke jalan yang benar.

Para agamawan adalah public figure kepada masyarakat awam, mereka akan menilai dengan pandangan zahiriah mereka sebelum mereka mendekati ahli agamawan untuk membimbing mereka untuk mengajar mereka. para agamawan kini telah jauh dari mengikuti akhlak-akhlak ulamak terdahulu dalam menyampaikan agama, telah jauh dari manhaj ulamak-ulamak silam bahkan telah jauh dari method dakwah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu dengan kasih sayang dengan rahmah. Kita sebagai manusia hanyalah sebagai penda’I atau pendakwah bukan sebagai penghukum. Begitu ramai yang telah menjadi Penghukum atau al-Hakim dengan menghukum manusia sebagai ahli neraka, ahli syurga dan sebagainya. Al-Hakim yang mutlak adalah Allah sahaja yang berhak menghukum hambanya. Kita hanya penyampai sahaja dan bukanlah penghukum. Pesan seorang Murabbi iaitu Syeikh Ali Jum’ah Hafizhahullah Ta’ala “ kita tidak boleh membahas tentang peribadi seseorang kerana itu adalah hak prerogratif  Allah, kita hanya boleh membahas tentang pemikiran, idea dan gagasannya tanpa boleh mencelanya”.

Manhaj atau tujuan hidup seorang muslim adalah menyelamatkan dirinya dan saudaranya daripada api neraka, bukan melemparkan saudaranya ke dalam api neraka sebagaimana yang banyak berlaku pada zaman ini saling takfir mentakfir dan sebagainya. Manhaj atau method ini telah di ajarkan oleh Rasulullah kepada kita, Rasulullah setiap masa risau kepada umatnya, takut kalau umatnya dimasukkan ke dalam neraka, di dalam tidur pun Rasulullah mengingati umatnya. sebegitu tinggi kerisauan Rasulullah kepada umatnya agar tidak dimasukkan ke dalam api neraka, bagaimana pula dengan kita yang suka melemparkan saudara seagama kita ke dalam api neraka? Begitu banyak hadith-hadith tentang kerisauan dan sayangnya Rasulullah kepada umatnya, sebagaimana hadith yang menceritakan tentang mayat yahudi yang lalu di hadapan Rasulullah, Rasulullah menangis, para sahabat bertanya Rasulullah kenapa Baginda menangis, apa yang dijawab oleh Baginda “hilangannya dariku satu jiwa dan ianya masuk ke dalam neraka”. Begitulah kerisauan Rasulullah kepada umatnya hatta kepada orang yang bukan Islam. Rasulullah sangat Takut sekiranya umatnya dimasukkan ke dalam neraka.

Kerisauan Rasulullah terhadap umatnya hatta umatnya yang telah dimasukkan ke dalam neraka, Rasulullah ingin mengeluarkan umatnya itu untuk dimasukkan ke dalam syurga hatta iman sekecil zahra sehinggalah yang pernah menyebut kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH Sebagaimana Hadith yang sangat panjang di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Tauhid-Bab Kalam Allah bersama para Anbiya’ dan selain mereka pada hari kiamat. Hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik Radiyallahu ‘Anhu:    

“pada hari kiamat, manusia akan berlari-lari antara satu sama lain, kemudian mereka mendatangi Adam dan berkata ; “tolong kami agar mendapat syafaat Tuhanmu”, Berkata Adam ; “aku tak berhak untuk itu, datangilah Ibrahim kerana dia adalah Khalilurrahman (kekasih ar-Rahman)”. Kemudian mereka mendatangi Ibrahim, Ibrahim pun berkata ; “aku tak berhak untuk itu, datangilah Musa kerana dia adalah Nabi yang di ajak berbicara dengan Allah (Kalimullah)”. Kemudian mereka mendatangi Musa, Musa pun berkata ; “aku tak berhak untuk itu, datangilah Isa kerana dia adalah Roh Allah dan Kalimah-Nya”. Kemudian mereka mendatangi Isa, Isa pun berkata ; “aku tak berhak untuk itu, datangilah Muhammad Shallallahu ‘Alaih Wasallam. Mereka pun mendatangi aku (Rasulullah) dan aku berkata akulah yang berhak dengan itu. Kemudian aku meminta izin daripada Tuhanku dan Tuhanku mengizinkan, Allah mengilhamkanku dengan puji-pujian yang aku gunakan untuk memanjatkan pujian kepada-Nya, yang jika puji-pujian itu menghadiriku sekarang, aku tidak melafazkan puji-pujian itu. Aku lalu bersujud kepada-Nya, lantas Allah berfirman ; “wahai Muhammad angkatlah kepalamu, katakanlah engkau akan didengar, mintalah engkau akan diberi, mintalah syafaat engkau akan diberi syafaat”. Aku berkata ; “wahai Tuhanku, umatku, umatku”. Allah berfirman ; “berangkatlah dan keluarkanlah daripada neraka siapa yang ada keimanannya sebesar biji gandum. Maka aku mendatangi mereka dan mengeluarkan mereka daripada neraka yang mempunyai iman sebesar biji gandum. Kemudian aku kembali menemui Tuhanku dan memanjatkan puji-pujian kepadanya, aku lalu bersujud kepadaNya. Allah berfirman ; “wahai Muhammad angkatlah kepalamu, katakanlah engkau akan didengar, mintalah engkau akan diberi, mintalah syafaat engkau akan diberi syafaat”. Aku berkata ; “wahai Tuhanku, umatku, umatku”. Allah berfirman ; “berangkatlah dan keluarkanlah daripada neraka siapa yang ada keimanannya lebih kecil dari biji sawi”. Maka aku mendatangi mereka dan mengeluarkan mereka daripada neraka yang mempunyai iman lebih kecil dari biji sawi. . Kemudian aku kembali menemui Tuhanku dan memanjatkan puji-pujian kepadanya, aku lalu bersujud kepadaNya. Allah berfirman ; “wahai Muhammad angkatlah kepalamu, katakanlah engkau akan didengar, mintalah engkau akan diberi, mintalah syafaat engkau akan diberi syafaat”. Aku berkata ; “wahai Tuhanku, umatku, umatku”. Allah berfirman ; “berangkatlah dan keluarkanlah daripada neraka siapa yang ada keimanannya lebih kecil lebih kecil lebih kecil dari biji sawi”. Maka aku mendatangi mereka dan mengeluarkan mereka daripada neraka yang mempunyai iman lebih kecil lebih kecil lebih kecil dari biji sawi. Kemudian aku mendatangi Tuhanku untuk kali keempat dan memanjatkan puji-pujian kepadanya, aku lalu bersujud kepadaNya. Allah berfirman ; “wahai Muhammad angkatlah kepalamu, katakanlah engkau akan didengar, mintalah engkau akan diberi, mintalah syafaat engkau akan diberi syafaat”. Aku berkata ; “wahai Tuhanku, izinkanlah bagi aku untuk mengeluarkan orang-orang yang pernah mengucapkan LA ILAHA ILLALLAH. Allah berfirman ; “Demi Kemuliaanku, Keagunganku dan kebesaranku, sungguh aku akan keluarkan siapa saja yang pernah mengucap LA ILAHA ILLALLAH”.[1]

Sekiranya kita melihat kepada hadith-hadith Rasulullah, banyak hadith-hadith yang maksudnya menyeru kita berkasih sayang sesama manusia, tidak bermusuhan sesama kita, tidak hasad dengki sesama kita, tidak memandang rendah kepada yang lain. Apatah lagi menghukum saudara kita sebagai ahli neraka, sebagai kafir dengan mudahnya. Sungguh ianya terkeluar dari ajaran Rasulullah kepada kita umat Islam. Manhaj atau metode yang diajar oleh Rasulullah kepada kita adalah berkasih sayang sesama kita dan sewajibnya kita mencontohi Rasulullah yang risau akan sekiranya umatnya akan masuk ke dalam neraka, bukan suka dan gembira mencampakkan saudaranya ke dalam api neraka. Begitu juga di dalam peperangan, Rasulullah tidak hanya menyuruh untuk menumpahkan darah-darah musuh, bahkan Rasulullah juga berpesan sekiranya boleh menyampaikan hidayah Allah itu lebih baik daripada penumpahan darah di dalam peperangan. Syeikh Dr. Usamah Sayyid al-Azhari, seorang Muhaddith muda juga salah seorang tenaga pengajar di Jami’ al-Azhar mengatakan :

“ketika Saidina Ali bin Abi Thalib hendak berangkat menuju ke perang Khaibar. Rasulullah tidak mengatakan kepadanya untuk membunuh atau menumpahkan darah musuhnya. Sebaliknya, Rasulullah berpesan sekiranya beliau mampu untuk menyampaikan hidayah Allah walau kepada seorang pun, maka hal itu lebih berharga dari hal apa pun. Imam Taqiyuddin al-Subki mengatakan ; “bahawa dari pesan Rasulullah ini dapat kita lihat bahawa tujuan peperangan dalam Islam bukanlah menumpahkan darah musuh tapi adalah untuk hidayah, untuk berdakwah kepada mereka dengan agama tauhid dan syariat Islam”. Maka jika hidayah ini mampu disampaikan dengan ilmu, saling bertukar pendapat dan menghilangkan rasa ragu maka hal ini adalah lebih baik”[2].

Ini adalah salah satu contoh yang harus kita ambil iktibar bahawa manhaj kita atau tugas kita sebagai Muslim adalah menyampaikan hidayah Allah. Memikirkan cara bagaimana hendak menyampaikan hidayah dan tidak cepat menghukum, menuduh bahkan tidak mudah mentakfir saudara seagama dengan kita. Berusaha menyampaikan hidayah Allah dengan apa cara sekali pun kepada saudara kita hatta kepada orang kafir sekali pun dengan mengelakkan perkara yang boleh membawa kepada perpecahan kerana Islam itu adalah agama bersatu padu. Mengelak daripada persengketaan yang merosakkan hubungan silaturrahim sesama kita adalah lebih elok dari terputusnya silaturrahim sesama kita dengan berlapang dada dalam masalah yang kita tidak sependapat dan berkerjasama dalam perkara yang kita sepakat. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh ulamak-ulamak kita yang terdahulu. Antara kisah yang menjadi perhatian al-Faqir ialah berkenaan kisah mantan Mufi Mesir iaitu Syeikh Muhammad Sya’rawi dengan sekumpulan pemuda ekstrim yang suka mentakfirkan saudaranya dan dalam erti kata yang lain suka mencampakkan saudaranya ke dalam api neraka, Syeikh Muhammad Sya’rawi mengatakan saya pernah berbincang dengan salah satu pemuda dari golongan yang esktrim dengan budaya takfir ini dan bertanya kepada mereka :

syeikh bertanya : “apakah hukumnya mengebom club-club malam di dalam negara Islam, adakah ianya haram atau halal?”
Dia menjawab : “tentu saja halal, membunuh mereka itu boleh”
Syeikh bertanya : “kalau kamu membunuh mereka, sedangkan mereka sedang mereka melakukan maksiat, kemanakah mereka akan ditempatkan?”
Dia menjawab : “sudah pasti ke dalam neraka”
Syeikh bertanya : “ke manakah tujuan syaitan ingin mencampakkan mereka?”
Dia menjawab : “sudah pasti tujuannya mencampakkan mereka ke dalam   neraka”
Syeikh berkata : “kalau begitu kamu dan syaitan memiliki tujuan yang sama mencampakkan mereka ke dalam api neraka” kemudian syeikh membacakan hadith berkenaan mayat seorang yahudi yang lalu dihadapan Rasulullah menyebabkan Rasulullah menangis kerana kehilangan satu jiwa yang di masukkan ke dalam neraka. Kemudian syeikh berkata lagi “lihatlah perbezaan kalian dengan Rasulullah yang berusaha menyampaikan hidayah dan petunjuk kepada umat manusia dan menjauhkan mereka daripada api neraka. Rasulullah berada pada tujuan yang lain dan kalian berada pada tujuan yang lain”.

Begitu juga sekiranya melihat kepada syariat yang diturunkan Allah adalah sebagai rahmat. Agama yang berkasih sayang, agama yang menjaga kemaslahatan umatnya, agama rahmah, agama yang menekankan sikap tolong menolong ke arah kebaikan, agama yang bersatu padu, agama yang menitik beratkan untuk memikirkan tentang saudaranya. Rasulullah juga diutuskan untuk rahmat sekalian alam, ayat pertama di dalam al-Quran iaitu ayat pertama surah al-Fatihah, Allah memulakan dengan sifat-Nya al-Rahman dan al-Rahim iaitu sifat Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang tidak dengan sifat-sifat-Nya yang lain seperti al-Jabbar atau al-Mutakabbir atau sifat-sifat-Nya yang lain. Antara hikmah yang boleh kita ambil bahawasanya Islam ini adalah agama berkasih sayang, agama yang penuh dengan Mahabbah. Bagaimana pula kita dengan mudah menghukum Kafir kepada saudara kita, mengatakannya sebagai ahli neraka. Sungguh ini terkeluar dari mahabbah kita kepada saudara kita. Sebagaimana mafhum dari hadith Rasulullah berkenaan tidak beriman seorang muslim selagi tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri, begitu luas pengertian hadith ini, begitu halus maksudnya, begitu murninya makna hadith ini kepada kita. Adakah dengan fatwa takfiriyyah dengan sewenang-wenangnya terhadap saudara seagama kita sekiranya terdapat perbezaan pendapat dengannya termasuk di dalam mahabbah atau kasih sayang kita terhadap sesama muslim? Dimanakah letaknya mahabbah tersebut di dalam diri kita? Apakah erti sebenar mahabbah dalam diri kita terhadap saudara sesama Islam?

Sesungguhnya budaya takfir mentakfir, sesat mnyesatkan, bid’ah membid’ahkan ini adalah terkeluar dari manhaj seorang muslim kerana suka mencampakkan  saudaranya ke dalam neraka dengan melabelkan saudaranya sebagai ahli neraka atau mengtakfirkannya atau membid’ahkannya. Seharusnya kita mencari solusi yang lebih mengeratkan hubungan silaturrahim, menambahkan keutuhan ukhwah Islamiah sekiranya kita tidak bersependapat serta saling maaf-memaafi. Selagi mana perkara yang menjadi khilaf tersebut bersifat Furu’iyyah atau Ijtihadiyyah ke atas dalil-dalil yang zhonni yang perlu kepada pandangan atau ijtihad para ulamak dan bukan ke atas masalah usul atau dalil-dalil yang Qat’ie. Kerana tidak mungkin berlaku khilaf di kalangan para ulamak ke atas dalil-dalil yang Qat’ie seperti kewajipan solat, kewajipan puasa di bulan Ramadhan dan sebagainya. Hal itu lebih elok di amalkan daripada mengamalkan budaya takfir mentakfir, mengklaim saudara seagama sebagai ahli neraka dan sewaktu dengannya.  

Murabbi kami Syeikh Yusri Rusydi al-Hasani berkata :

“sifat seorang muslim adalah bahawa saudaranya boleh selamat dari lidahnya. Pengakhiran hidup seseorang adalah perkara yang paling penting, jangan sampai Su’u Zhon (berburuk sangka) dan menghina orang yang berbuat maksiat. Kerana boleh jadi orang yang dihina tadi di akhir hidupnya ia bertaubat dan mendapat Husnu al-Khatimah. Sifat yang jarang dimiliki oleh manusia zaman sekarang ini adalah memaafkan dan melupakan kesalahan orang yang berbuat salah dengannya. Contohilah Imam Syafie sebelum wafatnya, beliau memaafkan sesiapa sahaja yang pernah berbuat salah kepadanya, supaya di akhirat nanti tidak ada mukmin yang diseret ke dalam neraka kerana tidak mendapat maaf darinya dan juga tidak mahu menyakiti Rasulullah pada umatnya”[3]

WALLAHU TA’ALA A’LAM

**peringatan buat diri ini serta saudara-saudara yang sudi membacanya, sama ada berbeza kulit, bangsa, fahaman dan sebagainya**



[1] Shahih al-Bukhari : no. 7510
[2] pengajian bersama beliau di Masjid al-Azhar, Mesir
[3] pengajian bersama beliau di Masjid al-Asyraf, Mesir