Para
ulamak terdahulu juga berbeza pendapat dan pandangan dalam masalah-masalah
agama tetapi ikatan di antara mereka tetap kuat dan utuh. Para ulamak silam
sentiasa mengkehadapankan atau mendahului akhlak-akhlak yang baik dalam
permasalahan ini dengan tidak saling menghina antara satu sama lain, tidak
mengkafirkan antara satu sama lain, tidak membid’ahkan sesama mereka, tidak
menggunakan kata-kata yang kesat. Perkara ini adalah disebabkan mereka
mendahuluikan akhlak yang baik serta adab-adab yang mulia sehinggakan ukhwah
islamiyyah mereka begitu terjaga dan atas dasar inilah juga mereka saling
hormat-menghormati.
Dewasa
kini para penuntut ilmu apabila berlaku perbezaan pendapat dalam masalah agama.
Perkara takfir mentakfir ini menjadi satu fenomena yang sangat buruk di dalam
institusi agamawan, bid’ah membid’ahkan, hina menghina sesama sendiri serta
menggunakan perkataan yang kesat. Bahkan ada yang sampai mengkafirkan
ulamak-ulamak terdahulu dan tidak beradab dengan ulamak-ulamak terdahulu. Sikap-sikap
seperti inilah yang akan menghalang orang awam untuk mempelajari agama untuk
dekat dengan agama. Pada pandangan mereka ustaz-ustaz juga bertelagah sesama
sendiri, menggunakan kata-kata yang kesat, bagaimana mungkin boleh mendidik
diri mereka, membimbing mereka ke jalan yang benar.
Para
agamawan adalah public figure kepada masyarakat awam, mereka akan menilai
dengan pandangan zahiriah mereka sebelum mereka mendekati ahli agamawan untuk
membimbing mereka untuk mengajar mereka. para agamawan kini telah jauh dari
mengikuti akhlak-akhlak ulamak terdahulu dalam menyampaikan agama, telah jauh
dari manhaj ulamak-ulamak silam bahkan telah jauh dari method dakwah Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu dengan kasih sayang dengan rahmah. Kita
sebagai manusia hanyalah sebagai penda’I atau pendakwah bukan sebagai
penghukum. Begitu ramai yang telah menjadi Penghukum atau al-Hakim dengan
menghukum manusia sebagai ahli neraka, ahli syurga dan sebagainya. Al-Hakim
yang mutlak adalah Allah sahaja yang berhak menghukum hambanya. Kita hanya
penyampai sahaja dan bukanlah penghukum. Pesan seorang Murabbi iaitu Syeikh Ali
Jum’ah Hafizhahullah Ta’ala “ kita tidak boleh membahas tentang peribadi
seseorang kerana itu adalah hak prerogratif
Allah, kita hanya boleh membahas tentang pemikiran, idea dan gagasannya
tanpa boleh mencelanya”.
Manhaj
atau tujuan hidup seorang muslim adalah menyelamatkan dirinya dan saudaranya
daripada api neraka, bukan melemparkan saudaranya ke dalam api neraka
sebagaimana yang banyak berlaku pada zaman ini saling takfir mentakfir dan
sebagainya. Manhaj atau method ini telah di ajarkan oleh Rasulullah kepada
kita, Rasulullah setiap masa risau kepada umatnya, takut kalau umatnya
dimasukkan ke dalam neraka, di dalam tidur pun Rasulullah mengingati umatnya. sebegitu
tinggi kerisauan Rasulullah kepada umatnya agar tidak dimasukkan ke dalam api
neraka, bagaimana pula dengan kita yang suka melemparkan saudara seagama kita
ke dalam api neraka? Begitu banyak hadith-hadith tentang kerisauan dan
sayangnya Rasulullah kepada umatnya, sebagaimana hadith yang menceritakan
tentang mayat yahudi yang lalu di hadapan Rasulullah, Rasulullah menangis, para
sahabat bertanya Rasulullah kenapa Baginda menangis, apa yang dijawab oleh
Baginda “hilangannya dariku satu jiwa dan ianya masuk ke dalam neraka”.
Begitulah kerisauan Rasulullah kepada umatnya hatta kepada orang yang bukan
Islam. Rasulullah sangat Takut sekiranya umatnya dimasukkan ke dalam neraka.
Kerisauan
Rasulullah terhadap umatnya hatta umatnya yang telah dimasukkan ke dalam
neraka, Rasulullah ingin mengeluarkan umatnya itu untuk dimasukkan ke dalam
syurga hatta iman sekecil zahra sehinggalah yang pernah menyebut kalimah LA
ILAHA ILLA ALLAH Sebagaimana Hadith yang sangat panjang di dalam Shahih
al-Bukhari, Kitab al-Tauhid-Bab Kalam Allah bersama para Anbiya’ dan selain
mereka pada hari kiamat. Hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik Radiyallahu
‘Anhu:
“pada hari kiamat,
manusia akan berlari-lari antara satu sama lain, kemudian mereka mendatangi
Adam dan berkata ; “tolong kami agar mendapat syafaat Tuhanmu”, Berkata Adam ; “aku
tak berhak untuk itu, datangilah Ibrahim kerana dia adalah Khalilurrahman
(kekasih ar-Rahman)”. Kemudian mereka mendatangi Ibrahim, Ibrahim pun berkata ;
“aku tak berhak untuk itu, datangilah Musa kerana dia adalah Nabi yang di ajak
berbicara dengan Allah (Kalimullah)”. Kemudian mereka mendatangi Musa, Musa pun
berkata ; “aku tak berhak untuk itu, datangilah Isa kerana dia adalah Roh Allah
dan Kalimah-Nya”. Kemudian mereka mendatangi Isa, Isa pun berkata ; “aku tak
berhak untuk itu, datangilah Muhammad Shallallahu ‘Alaih Wasallam. Mereka pun
mendatangi aku (Rasulullah) dan aku berkata akulah yang berhak dengan itu.
Kemudian aku meminta izin daripada Tuhanku dan Tuhanku mengizinkan, Allah
mengilhamkanku dengan puji-pujian yang aku gunakan untuk memanjatkan pujian
kepada-Nya, yang jika puji-pujian itu menghadiriku sekarang, aku tidak
melafazkan puji-pujian itu. Aku lalu bersujud kepada-Nya, lantas Allah
berfirman ; “wahai Muhammad angkatlah kepalamu, katakanlah engkau akan
didengar, mintalah engkau akan diberi, mintalah syafaat engkau akan diberi
syafaat”. Aku berkata ; “wahai Tuhanku, umatku, umatku”. Allah berfirman ;
“berangkatlah dan keluarkanlah daripada neraka siapa yang ada keimanannya
sebesar biji gandum. Maka aku mendatangi mereka dan mengeluarkan mereka
daripada neraka yang mempunyai iman sebesar biji gandum. Kemudian aku kembali
menemui Tuhanku dan memanjatkan puji-pujian kepadanya, aku lalu bersujud
kepadaNya. Allah berfirman ; “wahai Muhammad angkatlah kepalamu, katakanlah
engkau akan didengar, mintalah engkau akan diberi, mintalah syafaat engkau akan
diberi syafaat”. Aku berkata ; “wahai Tuhanku, umatku, umatku”. Allah berfirman
; “berangkatlah dan keluarkanlah daripada neraka siapa yang ada keimanannya
lebih kecil dari biji sawi”. Maka aku mendatangi mereka dan mengeluarkan mereka
daripada neraka yang mempunyai iman lebih kecil dari biji sawi. . Kemudian aku
kembali menemui Tuhanku dan memanjatkan puji-pujian kepadanya, aku lalu
bersujud kepadaNya. Allah berfirman ; “wahai Muhammad angkatlah kepalamu,
katakanlah engkau akan didengar, mintalah engkau akan diberi, mintalah syafaat
engkau akan diberi syafaat”. Aku berkata ; “wahai Tuhanku, umatku, umatku”.
Allah berfirman ; “berangkatlah dan keluarkanlah daripada neraka siapa yang ada
keimanannya lebih kecil lebih kecil lebih kecil dari biji sawi”. Maka aku
mendatangi mereka dan mengeluarkan mereka daripada neraka yang mempunyai iman
lebih kecil lebih kecil lebih kecil dari biji sawi. Kemudian aku mendatangi
Tuhanku untuk kali keempat dan memanjatkan puji-pujian kepadanya, aku lalu
bersujud kepadaNya. Allah berfirman ; “wahai Muhammad angkatlah kepalamu,
katakanlah engkau akan didengar, mintalah engkau akan diberi, mintalah syafaat
engkau akan diberi syafaat”. Aku berkata ; “wahai Tuhanku, izinkanlah bagi aku
untuk mengeluarkan orang-orang yang pernah mengucapkan LA ILAHA ILLALLAH. Allah
berfirman ; “Demi Kemuliaanku, Keagunganku dan kebesaranku, sungguh aku akan
keluarkan siapa saja yang pernah mengucap LA ILAHA ILLALLAH”.[1]
Sekiranya
kita melihat kepada hadith-hadith Rasulullah, banyak hadith-hadith yang
maksudnya menyeru kita berkasih sayang sesama manusia, tidak bermusuhan sesama
kita, tidak hasad dengki sesama kita, tidak memandang rendah kepada yang lain.
Apatah lagi menghukum saudara kita sebagai ahli neraka, sebagai kafir dengan
mudahnya. Sungguh ianya terkeluar dari ajaran Rasulullah kepada kita umat
Islam. Manhaj atau metode yang diajar oleh Rasulullah kepada kita adalah
berkasih sayang sesama kita dan sewajibnya kita mencontohi Rasulullah yang
risau akan sekiranya umatnya akan masuk ke dalam neraka, bukan suka dan gembira
mencampakkan saudaranya ke dalam api neraka. Begitu juga di dalam peperangan,
Rasulullah tidak hanya menyuruh untuk menumpahkan darah-darah musuh, bahkan
Rasulullah juga berpesan sekiranya boleh menyampaikan hidayah Allah itu lebih
baik daripada penumpahan darah di dalam peperangan. Syeikh Dr. Usamah Sayyid
al-Azhari, seorang Muhaddith muda juga salah seorang tenaga pengajar di Jami’
al-Azhar mengatakan :
“ketika Saidina Ali bin
Abi Thalib hendak berangkat menuju ke perang Khaibar. Rasulullah tidak
mengatakan kepadanya untuk membunuh atau menumpahkan darah musuhnya.
Sebaliknya, Rasulullah berpesan sekiranya beliau mampu untuk menyampaikan
hidayah Allah walau kepada seorang pun, maka hal itu lebih berharga dari hal
apa pun. Imam Taqiyuddin al-Subki mengatakan ; “bahawa dari pesan Rasulullah
ini dapat kita lihat bahawa tujuan peperangan dalam Islam bukanlah menumpahkan
darah musuh tapi adalah untuk hidayah, untuk berdakwah kepada mereka dengan
agama tauhid dan syariat Islam”. Maka jika hidayah ini mampu disampaikan dengan
ilmu, saling bertukar pendapat dan menghilangkan rasa ragu maka hal ini adalah
lebih baik”[2].
Ini
adalah salah satu contoh yang harus kita ambil iktibar bahawa manhaj kita atau
tugas kita sebagai Muslim adalah menyampaikan hidayah Allah. Memikirkan cara
bagaimana hendak menyampaikan hidayah dan tidak cepat menghukum, menuduh bahkan
tidak mudah mentakfir saudara seagama dengan kita. Berusaha menyampaikan
hidayah Allah dengan apa cara sekali pun kepada saudara kita hatta kepada orang
kafir sekali pun dengan mengelakkan perkara yang boleh membawa kepada
perpecahan kerana Islam itu adalah agama bersatu padu. Mengelak daripada
persengketaan yang merosakkan hubungan silaturrahim sesama kita adalah lebih
elok dari terputusnya silaturrahim sesama kita dengan berlapang dada dalam
masalah yang kita tidak sependapat dan berkerjasama dalam perkara yang kita
sepakat. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh ulamak-ulamak kita yang terdahulu.
Antara kisah yang menjadi perhatian al-Faqir ialah berkenaan kisah mantan Mufi
Mesir iaitu Syeikh Muhammad Sya’rawi dengan sekumpulan pemuda ekstrim yang suka
mentakfirkan saudaranya dan dalam erti kata yang lain suka mencampakkan
saudaranya ke dalam api neraka, Syeikh Muhammad Sya’rawi mengatakan saya pernah
berbincang dengan salah satu pemuda dari golongan yang esktrim dengan budaya
takfir ini dan bertanya kepada mereka :
syeikh bertanya : “apakah
hukumnya mengebom club-club malam di dalam negara Islam, adakah ianya haram
atau halal?”
Dia menjawab : “tentu
saja halal, membunuh mereka itu boleh”
Syeikh bertanya : “kalau
kamu membunuh mereka, sedangkan mereka sedang mereka melakukan maksiat,
kemanakah mereka akan ditempatkan?”
Dia menjawab : “sudah
pasti ke dalam neraka”
Syeikh bertanya : “ke
manakah tujuan syaitan ingin mencampakkan mereka?”
Dia menjawab : “sudah
pasti tujuannya mencampakkan mereka ke dalam
neraka”
Syeikh berkata : “kalau
begitu kamu dan syaitan memiliki tujuan yang sama mencampakkan mereka ke dalam
api neraka” kemudian syeikh membacakan hadith berkenaan mayat seorang yahudi
yang lalu dihadapan Rasulullah menyebabkan Rasulullah menangis kerana
kehilangan satu jiwa yang di masukkan ke dalam neraka. Kemudian syeikh berkata
lagi “lihatlah perbezaan kalian dengan Rasulullah yang berusaha menyampaikan
hidayah dan petunjuk kepada umat manusia dan menjauhkan mereka daripada api
neraka. Rasulullah berada pada tujuan yang lain dan kalian berada pada tujuan
yang lain”.
Begitu
juga sekiranya melihat kepada syariat yang diturunkan Allah adalah sebagai
rahmat. Agama yang berkasih sayang, agama yang menjaga kemaslahatan umatnya,
agama rahmah, agama yang menekankan sikap tolong menolong ke arah kebaikan,
agama yang bersatu padu, agama yang menitik beratkan untuk memikirkan tentang
saudaranya. Rasulullah juga diutuskan untuk rahmat sekalian alam, ayat pertama
di dalam al-Quran iaitu ayat pertama surah al-Fatihah, Allah memulakan dengan sifat-Nya
al-Rahman dan al-Rahim iaitu sifat Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
tidak dengan sifat-sifat-Nya yang lain seperti al-Jabbar atau al-Mutakabbir
atau sifat-sifat-Nya yang lain. Antara hikmah yang boleh kita ambil bahawasanya
Islam ini adalah agama berkasih sayang, agama yang penuh dengan Mahabbah.
Bagaimana pula kita dengan mudah menghukum Kafir kepada saudara kita,
mengatakannya sebagai ahli neraka. Sungguh ini terkeluar dari mahabbah kita
kepada saudara kita. Sebagaimana mafhum dari hadith Rasulullah berkenaan tidak
beriman seorang muslim selagi tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia
mengasihi dirinya sendiri, begitu luas pengertian hadith ini, begitu halus
maksudnya, begitu murninya makna hadith ini kepada kita. Adakah dengan fatwa
takfiriyyah dengan sewenang-wenangnya terhadap saudara seagama kita sekiranya
terdapat perbezaan pendapat dengannya termasuk di dalam mahabbah atau kasih
sayang kita terhadap sesama muslim? Dimanakah letaknya mahabbah tersebut di
dalam diri kita? Apakah erti sebenar mahabbah dalam diri kita terhadap saudara
sesama Islam?
Sesungguhnya
budaya takfir mentakfir, sesat mnyesatkan, bid’ah membid’ahkan ini adalah
terkeluar dari manhaj seorang muslim kerana suka mencampakkan saudaranya ke dalam neraka dengan melabelkan
saudaranya sebagai ahli neraka atau mengtakfirkannya atau membid’ahkannya.
Seharusnya kita mencari solusi yang lebih mengeratkan hubungan silaturrahim,
menambahkan keutuhan ukhwah Islamiah sekiranya kita tidak bersependapat serta
saling maaf-memaafi. Selagi mana perkara yang menjadi khilaf tersebut bersifat
Furu’iyyah atau Ijtihadiyyah ke atas dalil-dalil yang zhonni yang perlu kepada
pandangan atau ijtihad para ulamak dan bukan ke atas masalah usul atau
dalil-dalil yang Qat’ie. Kerana tidak mungkin berlaku khilaf di kalangan para
ulamak ke atas dalil-dalil yang Qat’ie seperti kewajipan solat, kewajipan puasa
di bulan Ramadhan dan sebagainya. Hal itu lebih elok di amalkan daripada
mengamalkan budaya takfir mentakfir, mengklaim saudara seagama sebagai ahli
neraka dan sewaktu dengannya.
Murabbi
kami Syeikh Yusri Rusydi al-Hasani berkata :
“sifat seorang muslim
adalah bahawa saudaranya boleh selamat dari lidahnya. Pengakhiran hidup
seseorang adalah perkara yang paling penting, jangan sampai Su’u Zhon (berburuk
sangka) dan menghina orang yang berbuat maksiat. Kerana boleh jadi orang yang
dihina tadi di akhir hidupnya ia bertaubat dan mendapat Husnu al-Khatimah.
Sifat yang jarang dimiliki oleh manusia zaman sekarang ini adalah memaafkan dan
melupakan kesalahan orang yang berbuat salah dengannya. Contohilah Imam Syafie
sebelum wafatnya, beliau memaafkan sesiapa sahaja yang pernah berbuat salah
kepadanya, supaya di akhirat nanti tidak ada mukmin yang diseret ke dalam
neraka kerana tidak mendapat maaf darinya dan juga tidak mahu menyakiti
Rasulullah pada umatnya”[3]
WALLAHU TA’ALA A’LAM
**peringatan buat diri ini serta saudara-saudara yang sudi
membacanya, sama ada berbeza kulit, bangsa, fahaman dan sebagainya**
No comments:
Post a Comment