Tuesday, 18 February 2014

Secara umum aliran dalam ushul fiqh

 Para ulamak bersepakat bahawa orang yang pertama menyusun kaedah-kaedah usul atau ilmu ushul fiqh ialah Imamuna Syafie, ada pun pendapat yang mengatakan orang yang pertama menyusun ilmu ini adalah Abi Yusuf dari Ashab Hanafiah, tetapi pendapat ini tidak diterima kerana tidak ada buku atau lembaran yang sampai kepada para ulamak, maka Imamuna Syafie diiktiraf sebagai orang yang pertama menyusun ilmu ushul fiqh melalui kitabnya iaitu ar-Risalah. Kitab ini menjadi perintis kepada kalangan ulamak lain untuk menyusun sesuatu ilmu, kerana di zaman tersebut kebanyakan ilmu tidak mengikut nizhom yang tersusun, imamuna mengarang satu ilmu baru yang tersusun buat pertama kalinya dalam sejarah dunia.

Secara umumnya, penyusunan kitab ar-Risalah ini mencapai maksud tujuannya ditulis dan disusun, ini kerana tidak ada seorang pun yang berani membantah atau mempertikaikannya. Kebanyakan fuqaha’ menuruti kaedah dan ushul yang disusun Imam Syafie, ada yang menuruti sebahagiannya dan ada yang menurutinya dalam kaedah dan ushul yang kecil. Mazhab yang bersetuju dengan sebahagian usul dan kaedah imam Syafie dan tidak menerima sebahagian yang lain adalah Mazhab Zhohiri. Mazhab yang menolak dan tidak menerima keseluruhan kaedah dan Usul Imam Syafie ini adalah bukan dari kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah iaitu Mazhab Syiah Imamiah dan sebagainya. Adapun keseluruhan mazhab Ahli Sunnah menerima kaedah dan ushul ini seperti mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Secara keseluruhannya, kaedah dan ushul yang disusun oleh Imam Syafie adalah metodologi Ahli Sunnah wal Jamaah

Harus difahami juga, selepas penyusunan kitab ar-Risalah, bidang ushul fiqh ini semakin berkembang, perkembangan atau susunan ilmu ini melalui beberapa aliran iaitu aliran mutakallimin merupakan jumhur ulamak ushul dan aliran fuqaha’ atau aliran hanafiah. Kedua aliran ini mempunyai perselisihan dari sudut cara-cara menetapkan kaedah ushul ; sama ada kaedah ushul didahulukan dari hukum-hukum feqah atau sebaliknya, ataupun hukum-hukum feqah hasil dari ijtihad imam-imam mazhab merupakan asal yang perlu didahulukan dari kaedah-kaedah ushul ushul.

Secara ringkasnya, aliran yang pertama dinamakan sebagai aliran mutakallimun adalah kerana aliran ini mengkaji kaedah-kaedah ushul fiqh berdasarkan ilmu kalam. Cara dan kaedah aliran ini tidak tertumpu pada mana-mana mazhab, ianya kajian yang lebih terperinci dan lebih halus pengkajiannya. Ulamak-ulamak yang menulis di dalam aliran ini adalah dari kalangan mazhab muktazilah dan mazhab ahli sunnah wal jamaah iaitu mazhab Syafie, mazhab Maliki, mazhab ja’fariah, mazhab Hanafi dan mazhab Hanbali.

Secara keseluruhannya yang boleh disimpulkan adalah aliran ini bukanlah menggunakan akal semata-mata dan tidak berlebihan menggunakan akal seperti golongan qadariyyah, muktazilah dan muattilah. Mereka akan menggunakan logika pada permasalahan yang tidak ada pada nas al-Quran dan Sunnah. Golongan ini juga tidak taksub pada mana-mana mazhab serta mereka tidak menyebutkan hukum-hukum feqah dalam perkara furu’  melainkan ketika menerangkan atau memberi contoh.

Secara ringkasnya, aliran kedua iaitu aliran fuqaha’ atau aliran hanafiah ini metodologinya berbentuk praktikal yang bergantung kepada ikatan antara kaedah ushul dan furu’. Aliran ini juga menggabungkan atau mencampurkan antara kaedah ushul dan feqah dengan uslub yang sangat berguna. Aliran ini juga memberikan keistimewaan kepada feqah secara jelas di dalam pembukuan berkenaan dengan bab-bab perselisihan dan pengeluaran hukum berpandukan kepada kaedah ushul dan penulisan kaedah feqah yang menyeluruh. Mazhab hanafi adalah perintis kepada aliran ini kerana mazhab ini banyak memainkan peranan di dalam aliran ini. Oleh itu ianya dinisbahkan kepada aliran hanafiah.

Aliran yang ketiga di dalam mengkaji atau menulis ilmu ushul ini selepas Imam Syafie ialah aliran Mutaakhirin, aliran ini menghimpunkan antara aliran mutakallimun dengan aliran fuqaha’. Aliran ini telah wujud pada kurun ke tujuh hijrah. Aliran ini mengambil berat tentang penentuan kaedah ushul berpandukan dalil-dalil seterusnya mengaplikasikan kaedah ini keatas hukum-hukum feqah. Sebahagian mereka bermazhab Syafie dan bermazhab Hanafi.

Penulisan atau perkembangan ilmu ushul fiqh ini adalah natijah daripada kitab ar-Risalah. Ibnu Khaldun menyatakan bahawa aliran fuqaha hanafiah atau mazhab Hanafi dan aliran mutakallimun banyak membahaskan berkaitan ushul dan kaedah-kaedah secara meluas. Berbeza dengan aliran fuqaha yang lebih kepada perbincangan kepada feqah daripada kaedah-kaedah. Adapun aliran mutakallimun kurang menyebutkan permasalahan feqah di dalam kitab ushul mereka melainkan kepada contoh feqah sahaja kerana lebih membincangkan permasalahan ushul.

Antara kitab yang terbaik daripada aliran mutakallimun yang muncul selepas kitab ar-Risalah adalah :

1) al-Burhan fi Ushul al-Fiqh – Imam Haramain al-Juwaini al-Syafie (w. 487H). Kitab ini adalah ringkasan daripada kitab al-Irsyad wa al-Taqrib – al-Qadi al-Baqilani (w. 403H)
2) al-Mustashfa min Ilmi Ushul – Hujjatul Islam Imam Ghazali al-Syafie (w. 505H). Imam Ghazali adalah anak murid kepada Imam Juwaini.
3) al-‘Umdah – Abdul Jabbar al-Mu’tazilah.
4) al-Mu’tamad – Abu al-Husain al-Basri al-Mu’tazilah al-Syafie (w. 463H). kitab ini merupakan syarah kepada kitab al-‘Umdah.

Empat kitab di atas duanya dari mazhab Syafie dan duanya adalah mazhab Mu’tazilah. Empat kitab ini boleh dikatakan tulang belakang atau sandaran kepada penulisan ushul fiqh bagi aliran mutakallimun ini. Kemudian keempat kitab ini diringkaskan oleh dua orang ulamak yang beraliran mutakallimun peringkat terakhir. Iaitu kitab :

1) al-Mahshul fi Ilmi Ushul – Imam Fakruddin ar-Razi al-Syafie (w. 606H)
2) al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam – Imam Saifuddin al-Aamadi al-Syafie (w. 931H)

Kedua-dua kitab ini mempunyai perbezaan yang mana Imam ar-Razi lebih cenderung kepada memperbanyakkan dalil-dalil dan hujah-hujah, manakala Imam al-Aamadi lebih cenderung kepada menetapkan mazhab-mazhab dan menyenaraikan permasalahan feqah. Banyak dikalangan ulamak yang meringkaskan Kitab al-Mahsul fi Ilmi Ushul, antaranya :

1) al-Hasil mina al-Mahshul – Imam Tajuddin al-Armawi (w. 606H)
2) al-Tahsil min al-Mahshul – Imam Mahmud Abu Bakar al-Armawi (w. 682H)
3) Tanqih al-Fushul min al-Mahshul – Imam al-Qurafi. Mengambil Muqaddimah dan kaedah daripada kitab al-Mahshul.
4) Minhaj al-Wushul ila Ilmi Ushul – al-Qadi Nasiruddin al-Baidhowi (w. 685H)

Kitab Minhaj ini telah telah banyak yang disyarah oleh para ulamak, ada pendapat yang mengatakan sebanyak 34 buah kitab, ada yang mengatakan 32 buah kitab. Doktor Abdul Fattah al-Dukhmisi mengatakan di dalam kitabnya al-Tahqiq al-Ma’mul, sebanyak 17 buah syarah yang masih wujud sehingga sekarang dan sebanyak 20 buah syarah telah hilang. Antara kitab yang syarahnya baik dan mahsyur kepada kitab Minhaj ini ialah kitab karangan Imam al-Asnawi al-Syafie (w. 772H) iaitu kitab Nihayatul Sul fi Syarh Minhajul Wushul ila Ilmi Ushul.      

Manakala kitab al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam telah di ringkaskan oleh beberapa imam, antaranya :

1) Muntaha al-Su’lu wa al-Amal fi Ilmi al-Ushul wa al-Jidal - Imam Ibn al-Haajib al-Maliki (w. 646H)
2) Mukhtasar al-Muntaha al-Ushuli – Imam Ibn al-Haajib (w. 646H)
3) Syarh al-‘Adhud ‘ala Mukhtasar al-Muntaha – Abdul Rahman ibn Ahmad al-Ibji (w. 756H)

manakala kitab daripada aliran fuqaha’ pula yang terdahulu mengarang kitab ushul fiqh ini ialah Syeikh al-Kurkhi (w. 340H), kemudian Imam al-Jassos (w. 370H), kemudian Imam Abu Zaid ad-Dabbusi (w. 430H), kemudian Imam al-Bazdawi (w. 483H) dan seterusnya Imam al-Sarkhosi (w. 483H). antara kitab yang mahsyur dalam aliran ini ialah :

1) Taqwiim al-Adillah wa Ta’sis al-Nazhor – Imam Abu Zaid al-Dabbusi (w. 430H)
2) Kasyfu al-Asrar – Imam Saifuddin al-Bazdawi al-Hanafi (w. 483H). Imam Besar dalam mazhab Hanafi.
3) Tamhid al-Fusul fi al-Ushul – Imam al-Sarkhosi (w. 483H)
4) Misykat al-Anwar Syarh al-Manar – Ibn Abidin

adapun aliran mutaakhirun ini mengarang kitab yang menghimpunkan pandangan dan kaedah daripada aliran mutakallimun dan aliran fuqaha’. Antara karangan yang terbaik ialah :

1) Badi’ al-Nizhom al-Jami’ Baina al-Kitabai al-Bazdawi wa al-Ihkam – Imam Muzfaruddin al-sa’ati al-Hanafi (w. 694H). Kitab ini menghimpun antara kitab Imam al-Bazdawi yang beraliran fuqaha’ dan kitab Imam al-Aamadi yang beraliran mutakallimun.
2) al-Tanqih al-Ushul, syarahnya al-Taudhih – Abdullah bin Mas’ud al-Hanafi (w. 747H). kitab ini menghimpunkan tiga kitab utama  iaitu Ushul al-Bazdawi dari mazhab Hanafi, kitab al-Mahsul oleh Imam al-Razi yang bermazhab Syafie dan Muntaha al-Sul wa al-aMal (Mukhtasar Ibn Haajib) daripada mazhab Maliki.
3) Jam’u al-Jawami’ – Imam Tajuddin al-Subki al-Syafie (w. 771H). Syeikh Hasan al-Attor telah menulis hasyiah kitab ini yang diberi nama Hasyiah al-Atthor ‘Ala Jam’I al-Jawaami
4) Muslim al-Thubut – Muhibbuddin Abdul Syukur (w. 1119H)

Seterusnya kitab-kitab moden dalam ilmu ushul fiqh ini seperti kitab Ushul Fiqh oleh Syeikh Muhammad al-Khudri, Ushul Fiqh al-Islami oleh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili sebanyak dua jilid, al-Wajiz Fi Ushul Fiqh oleh Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan, Ushul Fiqh oleh Imam Abu Zahrah dan banyak lagi. Kesemua kitab moden ini menggunakan pendekatan yang mudah untuk difahami. Begitu juga kitab-kitab ushul yang banyak digunakan di dalam sistem Turath atau talaqqi di pondok-pondok dan rumah-rumah para masyaikh seperti kitab matan al-Waraqat yang banyak disyarah oleh imam-imam ushul seperti syarah oleh Imam Ramli, Imam Muhammad bin Muhammad bin Muhammad ( Ibn Imam al-Kamaliah), Imam al-Mahalli, Kitab Luma’ fi Ushul Fiqh li Imam Syairazi dan banyak lagi yang mana kitab-kitab ini asas atau tamhidi untuk mmpelajari ilmu ushul. Wallahu Ta’ala A’lam

banyak lagi kitab-kitab yang aku tak senaraikan, ini adalah antara kitab-kitab yang masyhur yang disebutkan oleh ulamak Ushuliyyin. Secara umumnya, kesemua kitab ini tidak menyentuh atau memperincikan satu ilmu yang sebahagian daripada ilmu ushul fiqh ini juga yang diberi nama MAQASID SYARIAH. Sehinggalah imam yang terawal menyusun ilmu ini dengan mengambil iktibar daripada kitab-kitab ulamak terdahulu atau digelar sebagai Syeikhul Maqasid iaitu Imam Abu Ishak al-Syatibi (w. 780H) iaitu kitab al-Muwafaqat.

ini adalah secara umum atau asas dalam memahami ilmu Ushul Fiqh. Kalau kita membuka kitab-kitab Ushul, maka yang pertama yang akan dibahaskan adalah sejarah dan aliran-aliran di dalam ilmu Ushul Fiqh atau dalam bahasa arabnya “Muqaddimah Tarikhiah li Ushul al-Fiqh”. Wallahu Ta’ala ‘Alam.

- Ushul Fiqh li Syeikh Muhammad al-Khudri (w. 1927M), hal. 9-16
-al-Wajiz fi Ushul Fiqh li Syeikh Dr. Karim Zaidan (w. 2014M) hal. 9-19

- Imam Syafie : Sumbangan Terhadap Ilmu Ushul Fiqh li Ustaz Zaharuddin Muhammad, hal. 1-74

No comments:

Post a Comment